LA PAZ, 20 Okt. - Empat kanak-kanak antara lima individu maut dalam dua insiden keganasan berasingan pada hujung minggu di Potosi, barat daya Bolivia, termasuk kejadian seorang lelaki dipercayai membunuh dua anaknya sebelum membunuh diri serta satu lagi insiden tikaman yang meragut dua nyawa, menurut polis pada Isnin, lapor Xinhua.
Ketua Polis Potosi Roger Villazon berkata insiden pertama berlaku di komuniti Colquechaca apabila seorang lelaki berusia 22 tahun membawa dua anaknya yang berusia satu dan empat tahun ke sebuah lokasi terpencil. Lelaki itu kemudian meletupkan bahan letupan yang menyebabkan dia dan kedua-dua anaknya maut.
Villazon berkata penyiasat menemukan nota bunuh diri yang ditinggalkan lelaki itu, yang menyebut mengenai masalah hubungan dengan pasangannya. Polis masih menyiasat kejadian itu.
Insiden kedua berlaku pada Ahad malam di perbandaran Llallagua, utara Potosi, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun maut akibat ditikam.
Suspek, seorang lelaki berusia 24 tahun, melarikan diri dari lokasi kejadian selepas serangan itu.
Ketua polis bagi kawasan utara Potosi, Luis Meneses, berkata polis melancarkan operasi memburu suspek pada awal Isnin sebelum berjaya mengesan dan menahannya.
Beliau berkata suspek ditahan untuk disoal siasat sementara pihak pendakwa raya meneruskan siasatan lanjut. - ©BERNAMA