KUALA LUMPUR, 4 Sept. - Kumpulan AFFIN menjalin kerjasama dengan Selangor FC sebagai rakan perbankan rasmi kelab itu dalam usaha memperkukuh penglibatan dengan pelanggan dan komuniti menerusi sukan.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah manakala Selangor FC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Johan Kamal Hamidon.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Selangor FC menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama itu.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka inisiatif merangkumi perbankan, pengalaman pelanggan, penglibatan peminat dan program komuniti.
Kerjasama itu juga dijangka memberikan pelanggan AFFIN dan penyokong Selangor FC termasuk komuniti Red Giants akses kepada keistimewaan eksklusif dan pengalaman berkaitan bola sepak.
Wan Razly berkata kerjasama itu membolehkan AFFIN mendekatkan pelanggan dan penyokong menerusi sukan bola sepak melalui pengalaman yang unik.
"Hari ini, pelanggan mencari lebih daripada sekadar produk dan perkhidmatan kewangan. Mereka menghargai pengalaman dan hubungan yang mencerminkan gaya hidup serta minat mereka, dan sukan memberikan kami platform yang relevan untuk mewujudkan hubungan itu," katanya.
Sementara itu, Johan berkata Selangor FC mengalu-alukan kehadiran AFFIN sebagai rakan perbankan rasmi mereka ketika kelab itu berusaha meneruskan momentum terbaharunya pada peringkat domestik dan serantau. - ©BERNAMA