AI jadi tumpuan utama Ekspo Perdagangan Digital Global Ke-5

8 Sep 2026 - 12:39pm

BEIJING, 8 Sept. - Ekspo Perdagangan Digital Global kelima, acara yang bertujuan menggalakkan perdagangan digital dan kerjasama industri akan berlangsung dari 23 hingga 27 Sept di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang di timur China, dengan kecerdasan buatan (AI) sebagai tema utama, menurut seorang pegawai pada Isnin, lapor Xinhua.

Timbalan Menteri Perdagangan China Yan Dong berkata lebih satu pertiga pempamer akan memberi tumpuan kepada AI, selain pelancaran secara serentak pangkalan perintis aplikasi AI yang mengetengahkan ekosistem inovasi menyeluruh merangkumi model asas, aplikasi industri dan peranti pintar.

Malaysia dan Hungary akan menjadi negara tetamu kehormat, manakala wakil dari 121 negara dan wilayah serta 29 organisasi antarabangsa mengesahkan penyertaan. Ekspo itu akan menyediakan ruang pameran seluas 170,000 meter persegi, dengan pempamer antarabangsa merangkumi lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jumlah pavilion luar negara setakat ini melebihi jumlah keseluruhan bagi semua edisi terdahulu. Ekspo itu setakat ini menarik hampir 40,000 pembeli profesional, termasuk lebih 12,000 dari luar negara, dengan nilai tempahan perolehan antarabangsa dijangka mencecah US$977 juta.

Nilai perdagangan perkhidmatan China yang boleh disampaikan secara digital berkembang pada kadar purata tahunan 11.2 peratus antara 2016 hingga 2025, mengatasi purata global sebanyak 1.8 mata peratusan. - ©BERNAMA