TOKYO, 7 Sept. - Agensi kaji cuaca Jepun pada Isnin mengeluarkan amaran tanah runtuh tahap tertinggi bagi Pulau Niijima, yang terletak di selatan Tokyo, susulan hujan lebat, lapor Xinhua.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran kecemasan Tahap 5 bagi kejadian tanah runtuh di pulau itu selepas 381 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 5.20 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Hujan lebat turut melanda kawasan timur Jepun, termasuk Tokyo, sejak awal pagi Isnin berikutan musim hujan yang melanda.
JMA turut mengeluarkan amaran tanah runtuh Tahap 4 bagi beberapa kawasan di wilayah Chiba dan Saitama, yang bersempadan dengan Tokyo, serta bahagian tengah wilayah Fukushima.
Amaran turut diberikan mengenai kemungkinan hujan lebih lebat berlaku di kawasan luas yang menghadap Lautan Pasifik berikutan kemasukan udara panas dan lembap yang menghampiri garisan hadapan hujan di sepanjang pulau utama Honshu.
Penduduk di kawasan terjejas turut diminta agar terus berwaspada terhadap risiko tanah runtuh dan bencana lain. - ©BERNAMA