Amaran taufan dikeluarkan di Hawaii susulan Taufan Lowell

8 Sep 2026 - 12:33pm

LOS ANGELES, 8 Sept. - Amaran taufan dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Hawaii ketika Taufan Lowell menghampiri bahagian barat kepulauan itu, manakala amaran ribut tropika turut dikuat kuasa di Oahu, menurut kemas kini terbaharu Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) dan Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Pejabat NWS Honolulu memaklumkan amaran itu kini berkuat kuasa di Kauai, Niihau serta perairan sekitarnya di bahagian utara, selatan dan barat.

NHC meramalkan pusat Taufan Lowell akan bergerak berhampiran atau di sebelah barat Niihau pada malam Isnin hingga awal Selasa.

Keadaan dijangka bertambah buruk pada petang Isnin, dengan tiupan angin kencang diramal berlaku di puncak gunung serta lereng.

Taufan Lowell juga dijangka menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh, terutama di Kauai County serta beberapa kawasan di Big Island, menurut NHC.

NHC turut memberi amaran bahawa ombak besar akibat Taufan Lowell dijangka menyebabkan keadaan laut berbahaya serta arus deras yang boleh mengancam nyawa di kebanyakan kepulauan Hawaii dalam beberapa hari akan datang. - ©BERNAMA