Angka korban letupan di kemudahan tentera Bolivia meningkat kepada 7

8 Sep 2026 - 12:38pm

ISTANBUL, 8 Sept. - Angka korban akibat dua letupan di sebuah berek tentera di perbandaran Viacha, Bolivia meningkat kepada tujuh pada Isnin ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian tujuh orang yang masih hilang, menurut pihak berkuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Mangsa terbaharu dikenal pasti sebagai Sarjan Freddy Mauro Quisbert Vega, yang mayatnya ditemukan di bawah runtuhan kemudahan berkenaan, menurut Kementerian Pertahanan Bolivia.

Letupan berlaku pada Jumaat di Pusat Penyelenggaraan Am Rejimen Artileri Mekanis RAM-2 Bolivar di Viacha, kira-kira 30 kilometer (18.6 batu) dari ibu negara La Paz. Sekurang-kurangnya 84 orang cedera menurut pihak berkuasa, manakala kediaman berhampiran turut rosak akibat kekuatan letupan dan penduduk dipindahkan sementara.

Operasi menyelamat diteruskan di tengah-tengah kebimbangan keselamatan berhubung bahan ketenteraan yang belum meletup di lokasi kejadian. Pihak berkuasa menggesa supaya langkah berjaga-jaga diambil ketika pasukan membersihkan runtuhan dan mencari anggota yang masih hilang.

Punca letupan masih disiasat. Laporan awal menyatakan letupan pertama berlaku di kawasan penyimpanan bahan piroteknik, manakala punca letupan kedua yang lebih kuat masih dalam siasatan.

Presiden Rodrigo Paz pada Isnin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengisytiharkan tempoh berkabung nasional susulan kematian berkenaan. Beliau turut mengarahkan siasatan dijalankan terhadap insiden itu.

Letupan itu menyebabkan kerosakan besar pada kompleks tentera dan kediaman di sekitarnya, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penyimpanan serta pengendalian bahan letupan di kemudahan tentera.

Pihak berkuasa masih belum memberikan penilaian akhir mengenai kerosakan harta benda atau memaklumkan bila operasi mencari dan menyelamat akan ditamatkan. - ©BERNAMA