BERLIN, 26 Okt. - Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli menjuarai perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat (AS) Formula Satu (F1) pada Ahad, namun perlu menunggu sekurang-kurangnya satu lagi perlumbaan untuk merangkul kejuaraan dunia buat kali pertama, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perlumbaan di Austin itu memberi peluang pertama kepada Antonelli untuk mengesahkan kejuaraan dunia, sekali gus muncul juara termuda dalam sejarah F1 pada usia 20 tahun, namun pelumba Itali itu memerlukan gabungan keputusan yang sukar dicapai.
Antonelli mempamerkan aksi cemerlang apabila melakukan permulaan hebat dari petak utama, sekali gus tidak memberi ruang kepada pelumba Red Bull, Max Verstappen untuk mencabarnya.
Beliau kemudian memanfaatkan strategi satu hentian di pit untuk mencatat kemenangan selesa. Pelumba Ferrari, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas memintas Verstappen ketika perlumbaan berbaki enam pusingan.
Verstappen dari Belanda terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas memenangi dua perlumbaan terdahulu di Malaysia dan Singapura.
Antonelli kini mendahului rakan sepasukannya, George Russell, dengan jurang 123 mata, ketika maksimum 125 mata masih boleh diraih dalam baki saingan musim ini.
Beliau akan mengesahkan kejuaraan dunia pada perlumbaan di Mexico minggu depan sekiranya menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat kesembilan. - ©BERNAMA