ISTANBUL, 12 Sept. - Arab Saudi pada Jumaat mengumumkan bahawa ia telah menutup Saluran Paip Timur-Baratnya selepas beberapa serangan dron yang berasal dari Iraq di wilayah Riyadh dan Madinah, Khamis.
Serangan menyebabkan beberapa orang cedera serta kerosakan lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan sumber rasmi Kementerian Tenaga.
Menurut kenyataan itu serangan berlaku pada pagi Khamis dan saluran paip minyak berkenaan ditutup "sebagai langkah berjaga-jaga".
Sebilangan orang cedera dan menerima rawatan perubatan, menurut kementerian itu tanpa menyatakan jumlah mangsa atau keadaan mereka.
Kementerian Luar Arab Saudi mengutuk serangan itu manakala Riyadh memutuskan untuk tidak bertindak balas "pada peringkat ini" selepas perdana menteri Iraq meminta Arab Saudi membenarkan Baghdad mengambil langkah untuk menghalang serangan yang dilancarkan dari wilayah Iraq ke atas kerajaan dan negara jiran.
Menurut Arab Saudi, ia menyokong usaha kerajaan Iraq menghalang serangan itu namun menegaskan bahawa ia berhak untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, kemudahan, rakyat dan penduduknya.
Sementara itu, Perdana Menteri dan Panglima Angkatan Tentera Iraq, Ali al-Zaidi mengarahkan siasatan terhadap serangan dan pihak bertanggungjawab, menurut satu kenyataan.
Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati terlibat, sambil menegaskan bahawa negara itu tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti yang membahayakan Iraq atau hubungannya dengan negara jiran dan rakan.
Baghdad mengulangi bahawa wilayah dan ruang udara Iraq "tidak akan menjadi titik pelancaran untuk serangan terhadap mana-mana negara," menegaskan bahawa dasarnya adalah berdasarkan menghormati kedaulatan negara lain dan menghalang Iraq daripada menjadi arena konfrontasi serantau.
Ketegangan meruncing antara Riyadh dan Baghdad pada akhir Julai selepas Arab Saudi berkata ia memintas beberapa dron yang dilancarkan dari Iraq yang cuba menyerang kemudahan minyak di Wilayah Timur dan wilayah Riyadh.
Arab Saudi menyalahkan pasukan bersenjata disokong Iran dan menggesa Baghdad supaya menghalang wilayah Iraq daripada digunakan sebagai titik pelancaran untuk serangan terhadap kerajaan itu.
Pihak berkuasa Iraq berikrar untuk menghalang serangan tanpa kebenaran terhadap negara jiran dan seterusnya membentuk jawatankuasa keselamatan bersama bagi membangunkan langkah yang bertujuan mencegah pelanggaran.
Pertikaian itu kembali memuncak pada 29 Julai apabila tentera AS dan Arab Saudi menyerang tapak milik Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) yang pro-Iran di Iraq.
Menurut PMF 20 anggotanya terbunuh dan 32 cedera.
Arab Saudi berkata operasi itu dilakukan untuk mempertahankan diri berikutan serangan dari Iraq ke atas kemudahan petroleumnya. - ©BERNAMA