Artifak purba Rom dilelong pada harga tertinggi US$34.3 juta

23 Okt 2026 - 9:13am

NEW YORK, 23 Okt. - Sebuah arca marmar bahagian tubuh seorang maharaja Rom yang berusia kira-kira 2,000 tahun berjaya dilelong pada harga US$34.3 juta di New York, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik firma lelong Sotheby's pada Khamis.

Menurut Sotheby's, harga itu kira-kira tiga kali ganda lebih tinggi daripada anggaran awal, sekali gus mencatatkan harga tertinggi pernah dibayar dalam lelongan bagi artifak purba Rom.

Firma lelong itu memaklumkan bahawa lima pembida bersaing selama hampir 15 minit untuk mendapatkan arca berkenaan, namun identiti pembida yang berjaya tidak didedahkan pada peringkat awal.

"Arca marmar bahagian tubuh ini berasal dari abad pertama Masihi, iaitu zaman awal Empayar Rom," menurut Sotheby's menerusi hantaran di platform X.

"Dengan ukiran yang luar biasa serta saiznya yang mengagumkan, arca itu pastinya melambangkan keagungan dan kekuasaan Rom kepada sesiapa sahaja yang melihatnya 2,000 tahun lalu," menurut hantaran itu. - ©BERNAMA