JAKARTA, 18 Julai. - ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEANGEMS), portal sehenti biasiswa serantau kini menawarkan biasiswa dan pelbagai insentif universiti bernilai lebih US$25 juta (US$1 = RM4.09), meningkat lima kali ganda berbanding US$5 juta ketika dilancarkan setahun lalu.
Peningkatan itu mencerminkan matlamat lebih besar yang diperkenalkan Malaysia semasa mempengerusikan ASEAN pada 2025, iaitu mewujudkan sebuah gerbang digital tunggal yang memudahkan pelajar mendapatkan maklumat mengenai peluang pengajian tinggi di seluruh rantau ini.
Sebelum ini, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di negara ASEAN lain perlu melayari laman sesawang setiap universiti secara berasingan bagi mendapatkan maklumat mengenai biasiswa, syarat kemasukan dan proses permohonan, sekali gus menyukarkan mereka membandingkan peluang yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin berkata peningkatan lima kali ganda dalam tawaran biasiswa dan insentif universiti menunjukkan penggunaan ASEANGEMS yang semakin meluas, iaitu platform yang dibangunkan bersama oleh EMGS dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
"Ia diwujudkan untuk memusatkan maklumat mengenai biasiswa, program mobiliti akademik dan pelbagai insentif yang ditawarkan institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian, sekali gus membolehkan pelajar meneroka peluang di seluruh ASEAN menerusi satu platform," katanya kepada Bernama.
Menurut Novie, inisiatif itu turut mengatasi cabaran lama dihadapi pelajar yang sebelum ini perlu menghubungi setiap universiti secara berasingan untuk mendapatkan maklumat mengenai biasiswa dan bantuan kewangan.
"Sebelum ini, pelajar perlu menghubungi setiap universiti bagi mengetahui tawaran biasiswa yang disediakan, tetapi kini mereka hanya perlu melayari ASEANGEMS untuk melihat institusi yang menawarkan biasiswa dan insentif lain sebelum menghubungi universiti berkenaan secara terus," katanya.
Beliau berkata menerusi portal itu, universiti yang mengambil bahagian akan memuat naik maklumat mengenai pakej bantuan kewangan masing-masing termasuk diskaun yuran pengajian, insentif penginapan, pengecualian penuh yuran bagi program asasi serta potongan yuran untuk keseluruhan program pengajian.
Sehingga akhir Jun tahun ini, portal itu menghimpunkan 1,934 tawaran biasiswa dan pengajian tinggi daripada institusi di lima negara, dengan nilai keseluruhan mencecah US$25.5 juta.
"Portal ini turut merekodkan 57,163 pelawat, 69,380 paparan halaman dan 279 pengguna berdaftar, dengan Indonesia mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 140 pengguna, diikuti Malaysia (74) dan Vietnam (33)," kata beliau. Novie berkata portal itu terus diperkasakan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina tahun ini menerusi pengenalan ciri maklumat penyelidikan.
Menurut beliau, ciri baharu itu membolehkan pensyarah dan penyelidik mencari geran penyelidikan serta peluang kerjasama yang ditawarkan di seluruh rantau ini, sekali gus memperluas fungsi ASEANGEMS melangkaui mobiliti pelajar dan biasiswa.
Walaupun penambahbaikan terkini itu diperkenalkan oleh Filipina, Novie berkata EMGS terus menguruskan portal berkenaan sambil bekerjasama rapat dengan rakan ASEAN untuk terus membangunkan dan mempromosikannya.
"Kita perlu memperluaskan lagi promosi portal ini kerana ia memusatkan pelbagai maklumat. Amat rugi jika orang ramai tidak mengetahui kewujudan ASEANGEMS," kata beliau. Beliau berkata portal itu merangkumi peluang pengajian di semua peringkat pendidikan tinggi, termasuk pengajian prasiswazah dan pascasiswazah. - ©BERNAMA