Bahrain : Sistem pertahanan udara pintas serangan dron dari Iran

2 Sep 2026 - 10:48am

ISTANBUL, 2 Sept. - Bahrain mengumumkan bahawa sistem pertahanan udaranya memintas serangan dron yang dilancarkan dari Iran ketika ketegangan di Asia Barat kembali meningkat, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Agensi berita kerajaan BNA melaporkan Pusat Komunikasi Nasional Bahrain sebagai berkata sistem pertahanan udara negara itu bertindak balas terhadap serangan berkenaan dan memusnahkan dron terbabit.

Menurut pusat itu, sistem pertahanan udara Bahrain kekal dalam tahap kesiapsiagaan tinggi bagi melindungi keselamatan negara. Bahrain sebelum itu mengeluarkan amaran bahaya yang menggesa orang ramai supaya bertenang dan bergerak ke lokasi selamat terdekat.

Kementerian Dalam Negeri turut menggesa orang ramai supaya kekal tenang dan pergi ke tempat selamat terdekat, selain menasihatkan mereka mengikuti perkembangan menerusi saluran rasmi.

Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengumumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan terhadap sasaran milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Iran pula mengumumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan balas terhadap serangan AS menggunakan peluru berpandu dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV). Tentera Iran berkata kemudahan radar milik AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain serta lokasi anggota tentera AS berkumpul menjadi sasaran serangan dron kamikaze. - ©BERNAMA