YANGON, 10 Sept. - Republik Kesatuan Myanmar menarik balik sekatan yang mewajibkan kenderaan beroperasi pada hari tertentu mengikut nombor pendaftaran ganjil atau genap, berkuat kuasa 9 September, menurut notis awam yang dikeluarkan Pasukan Penerangan Pejabat Presiden pada Rabu, lapor Xinhua.
Sekatan itu diperkenalkan pada Mac bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan memastikan bekalan mencukupi susulan konflik di Asia Barat, menurut notis berkenaan.
Notis itu memaklumkan penggunaan bahan api kini kembali stabil dan normal, justeru sekatan berkenaan ditarik balik bagi memudahkan pengangkutan awam serta memastikan operasi perniagaan berjalan tanpa gangguan.
Bagaimanapun, sistem pengagihan dan penjualan bahan api berasaskan Kod QR yang diperkenalkan bersama sistem ganjil-genap akan terus dilaksanakan sebagai sebahagian usaha mengekalkan keselamatan tenaga negara. - ©BERNAMA