Berusaha jadikan akhlak Rasulullah hidup dalam diri kita

4 Sep 2026 - 9:27am

BERAKAS, Jumaat, 4 September. - Majlis Sambutan Maulidur Rasul Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) adalah kegiatan pertama kali seumpamanya diadakan PPPBD dengan inisiatif untuk menjadikan kegiatan berkenaan sebagai salah satu daripada kegiatan tahunan persatuan.

Sehubungan itu, majlis berkenaan yang diadakan pagi tadi bertempat di Ibu Pejabat PPPBD di Kampung Anggerek Desa antara lain bertujuan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul di Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu, atur cara dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pesuruhjaya Pemimpin Muda PPPBD, Dr. Mariam binti Haji Abdul Rahman.

Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pesuruhjaya Kerohanian PPPBD, Dayang Hajah Fatimah binti Haji Abdul Ghani, selaku Penyelaras Majlis Sambutan Maulidur Rasul PPPBD Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai.

Kemuncak acara disusuli dengan tazkirah sempena Sambutan Maulidur Rasul bertajuk 'Habibi Ya Rasulullah Salamun 'Alayk' yang disampaikan oleh Dr. Mariam yang antara lain menggariskan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar mengenang tarikh kelahiran seorang insan agung, tetapi merupakan kesempatan untuk kembali mengenali sosok Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang penuh kasih sayang, kelembutan, kesabaran dan akhlak mulia.

Tazkirah berkenaan juga mengajak para hadirin menyelami beberapa sisi keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang begitu dekat dengan kehidupan manusia, Baginda sebagai insan yang penyayang, pemimpin yang lembut tetapi tegas, insan yang turut merasai kesedihan dan air mata, serta seorang Rasul yang tetap memilih kasih sayang dan pengampunan walaupun disakiti dan ditolak.

Melalui kisah-kisah penuh pengajaran, khususnya peristiwa Taif, para hadirin diajak merenung satu persoalan penting : "Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sejauh manakah akhlak Baginda telah hidup dalam diri kita?"

Dalam konteks PPPBD, tazkirah berkenaan turut menghubungkan sirah dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan nilai kepimpinan, khidmat, persaudaraan, amanah dan teladan, agar kecintaan kepada Baginda tidak berhenti pada ucapan dan Selawat semata-mata, tetapi diterjemahkan melalui akhlak dan tindakan dalam kehidupan seharian.

Kesimpulannya, mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan hanya dengan mengingati Baginda, tetapi dengan berusaha menjadikan akhlak Baginda hidup dalam diri kita.

Di samping kegiatan-kegiatan kenegaraan, perkembangan kemahiran, kemasyarakatan dan kebudayaan, PPPBD turut aktif dalam mengungkayahkan kegiatan-kegiatan yang bersifat kerohanian dan keagamaan yang melibatkan penyertaan ahli-ahli daripada semua peringkat.

Hadir pada majlis tersebut, Naib Yang Dipertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali; Naib Yang Dipertua PPPBD, Dayang Hajah Viviyanti binti Haji Md. Ali; dan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Dayang Norazrina binti Haji Sarbini.