BEIJING, 8 September. - Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China telah mengeluarkan pelan pembangunan bagi industri maklumat dan komunikasi sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun ke-15 (2026-2030), dalam usaha menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi sektor berkenaan.
Menjelang 2030, rangkaian komunikasi generasi baharu dengan liputan menyeluruh dan prestasi bertaraf tinggi dijangka dapat diwujudkan sepenuhnya, menurut pelan tersebut yang menggariskan usaha mempercepat pembangunan sistem perindustrian maklumat dan komunikasi yang maju dari segi teknologi, selamat dan terkawal.
Pada masa sama, sistem tadbir urus yang tangkas dan cekap, yang mengintegrasikan teknologi dan pengurusan, dijangka dapat diwujudkan dengan berkesan, manakala keupayaan keselamatan rangkaian dan data yang menampilkan penyelarasan menyeluruh serta aplikasi praktikal akan dipertingkatkan dengan ketara.
Pelan itu turut menyatakan tahap pemerkasaan dan pengantarabangsaan industri akan terus dipertingkatkan, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi mencapai pemodenan sektor maklumat dan komunikasi secara asas menjelang 2035.
Pelan tersebut turut menetapkan 13 petunjuk utama, termasuk sasaran pendapatan industri maklumat dan komunikasi mencecah 4.1 trilion yuan (kira-kira AS$604.8 bilion) menjelang 2030, pelaburan terkumpul sebanyak 3.8 trilion yuan dalam infrastruktur maklumat serta kadar pertumbuhan tahunan purata tujuh peratus dalam jumlah perkhidmatan telekomunikasi.
Menjelang 2030, sebanyak 50 stesen pangkalan 5G, termasuk 5G-A, disasarkan bagi setiap 10,000 penduduk, manakala kapasiti pengkomputeran pintar dijangka mencapai 9,800 EFLOPS dan kadar penembusan pengguna 5G mencecah 95 peratus, menurut kementerian berkenaan.
EFLOPS atau ExaFLOPS ialah unit yang digunakan untuk mengukur prestasi pengkomputeran, dengan setiap unit mewakili satu kuintilion operasi titik apungan sesaat.
Pelan itu menggariskan 26 tugas utama dalam enam bidang utama, termasuk pembangunan infrastruktur maklumat serta jaminan keselamatan rangkaian dan data. Antaranya, pelan tersebut secara khusus menekankan keperluan memulakan perkhidmatan komersial 6G pada masa yang sesuai serta mempercepat pembangunan rangkaian kuasa pengkomputeran bersepadu di seluruh negara.
Langkah khusus turut merangkumi penubuhan makmal antipenipuan industri serta sokongan kepada perusahaan untuk mempergiat integrasi kecerdasan buatan dan sektor pembuatan, menurut pelan itu.
China kini mempunyai infrastruktur maklumat terbesar di dunia. Akses rangkaian gentian optik gigabit tersedia di setiap daerah, manakala rangkaian 5G meliputi semua pekan serta lebih 95 peratus kampung pentadbiran.
Negara itu turut mempergiat pelaksanaan inisiatif China Digital, dengan sasaran meningkatkan nilai ditambah industri teras ekonomi digital kepada 12.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, menurut Rancangan Lima Tahun ke-15 (2026-2030). - ©XINHUA