China naikkan harga petrol dan diesel

11 Sep 2026 - 8:42am

BEIJING, 11 September – China akan menaikkan harga runcit petrol dan diesel mulai Sabtu, berdasarkan perubahan terkini harga minyak mentah antarabangsa, umum badan perancang ekonomi tertinggi negara itu pada Jumaat.

Di bawah pelarasan berkenaan, harga petrol dan diesel masing-masing akan meningkat sebanyak 260 yuan (kira-kira AS$38.38) dan 250 yuan bagi setiap tan, menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC).

Menurut NDRC, berdasarkan mekanisme penetapan harga semasa, harga runcit maksimum petrol dan diesel sepatutnya dinaikkan masing-masing sebanyak 435 yuan dan 420 yuan bagi setiap tan kali ini.

Anggaran awal menunjukkan pemilik kereta persendirian akan membelanjakan kira-kira 7 yuan kurang berbanding jumlah yang sepatutnya dibayar ketika mengisi penuh tangki, manakala pemandu trak akan menjimatkan kira-kira 75 yuan bagi setiap tangki, berikutan kenaikan yang ditetapkan lebih rendah daripada kadar yang diperlukan di bawah mekanisme penetapan harga.

NDRC berkata, sejak pelarasan harga minyak bertapis terakhir China pada 28 Ogos, konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak, sekali gus menyebabkan harga minyak mentah antarabangsa meningkat dengan ketara.

Menurutnya, kenaikan kali ini bertujuan mengurangkan kesan peningkatan harga minyak antarabangsa terhadap pasaran domestik.

Tiga syarikat minyak terbesar China – China National Petroleum Corporation, China Petrochemical Corporation dan China National Offshore Oil Corporation – serta syarikat penapisan lain telah diarahkan untuk mengekalkan pengeluaran dan melancarkan pengangkutan bagi memastikan bekalan kekal stabil.

NDRC berkata, ketika ini terdapat ketidaktentuan geopolitik yang ketara dan perhatian berterusan perlu diberikan terhadap kesan perkembangan situasi antara Amerika Syarikat dan Iran terhadap harga minyak antarabangsa.

Bekalan minyak dan gas domestik China dijangka mencecah 440 juta tan setara minyak menjelang 2030, menurut pelan lima tahun bagi sektor berkenaan yang dikeluarkan bersama oleh Pentadbiran Tenaga Nasional dan NDRC pada Ogos.

Data rasmi menunjukkan jumlah pengeluaran minyak dan gas negara itu mencapai rekod baharu sebanyak 420 juta tan setara minyak pada 2025, mencerminkan peningkatan ketara dalam keupayaan keselamatan tenaga kendiri negara berkenaan. – © XINHUA