KUALA LUMPUR, 22 Okt. - Kumpulan Lapan Negara Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D8) dan Suruhanjaya Sains dan Teknologi untuk Pembangunan Mampan di Selatan (COMSATS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan pembangunan mampan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh D-8 pada Rabu (21 Oktober), MoU berkenaan ditandatangani secara dalam talian oleh Setiausaha Agung D-8 Sohail Mahmood dan Pengarah Eksekutif COMSATS Dr. Mohammad Nafees Zakaria.
Perjanjian itu merangkumi enam bidang keutamaan: pertanian dan keterjaminan makanan; transformasi digital, keselamatan siber serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT); perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar; keselamatan tenaga; industri; dan kesihatan awam.
Di bawah MoU itu, kedua-dua pertubuhan akan meneroka penyelidikan dan pembangunan bersama, program pembangunan kapasiti, pertukaran pakar dan ahli sains, pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan, aktiviti pembangunan perniagaan, bengkel serta inisiatif latihan.
Sohail berkata sains, teknologi dan inovasi semakin penting dalam mempromosikan daya saing ekonomi, pembangunan mampan dan ketahanan dalam kalangan negara membangun.
"Perkongsian yang dibentuk antara kedua-dua pertubuhan ini akan menyediakan platform penting untuk menterjemahkan pengetahuan saintifik dan kepakaran teknologi kepada penyelesaian praktikal yang menangani keutamaan pembangunan negara anggota masing-masing," katanya seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar itu.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan berorientasikan hasil yang berfokus kepada pembangunan kapasiti institusi, inovasi, pemindahan teknologi dan inisiatif bersama secara praktikal yang memberikan manfaat ketara kepada negara anggota.
Sementara itu, Mohammad mengetengahkan peranan COMSATS dalam mempromosikan kerjasama sains dan teknologi dalam kalangan negara membangun.
Beliau berkata COMSATS dianggotai 27 negara anggota di Asia, Afrika, serta Amerika Latin dan Caribbean, yang disokong oleh rangkaian 25 Pusat Kecemerlangan serta kepakaran sains dan teknikal dari pelbagai negara.
D-8 dan COMSATS berkongsi enam negara anggota iaitu Republik Rakyat Bangladesh, Mesir, Republik Islam Iran, Nigeria, Republik Islam Pakistan dan Republik Türkiye, sekali gus menyediakan asas untuk kerjasama institusi yang lebih erat dan inisiatif bersama dalam bidang kepentingan bersama.
Kedua-dua pertubuhan telah melantik pegawai perhubungan bagi memudah cara penyelarasan dan pelaksanaan MoU berkenaan, mengesahkan semula komitmen mereka terhadap kerjasama Selatan-selatan, pembangunan kapasiti institusi, inovasi dan pemindahan teknologi.
Perkongsian itu bertujuan untuk memajukan keupayaan sains dan teknologi serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan pembangunan mampan di seluruh negara anggota mereka. - ©BERNAMA