DR Congo : Agensi PBB beri amaran amalan pengebumian cetus risiko penularan Ebola

18 Jul 2026 - 8:25am

KIGALI (Rwanda), 18 Julai. -

Agensi migrasi Pertubuhan

Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

memberi amaran bahawa amalan

membawa pulang mayat mangsa

Ebola untuk dikebumikan di

kampung halaman masing-masing

boleh mempercepat penularan

virus itu di Republik Demokratik

(DR) Congo, ketika angka

kematian akibat wabak berkenaan

melepasi 800, lapor Anadolu Ajansi

(AA).

Sejak wabak itu diisytiharkan

pada 15 Mei, DR Congo

merekodkan lebih 2,100 kes Ebola

yang disahkan termasuk lebih 828

kematian, menurut kemas kini

terkini Kementerian Kesihatan

negara itu. Kadar kematian kes

direkodkan pada 37.5 peratus.

Virus itu telah merebak ke lima

wilayah iaitu Haut-Uele, Ituri, North

Kivu, South Kivu dan Tshopo.

Pengarah Serantau Pertubuhan

Antarabangsa untuk Migrasi (IOM),

Frantz Celestin berkata wabak itu

menular hingga 70 peratus dalam

tempoh dua minggu lepas, dengan

purata lebih 40 kes baharu

dilaporkan setiap hari.

Menerusi taklimat video, beliau

berkata tentangan daripada

masyarakat setempat terus

menghalang usaha melaksanakan

pengebumian secara selamat,

malah pasukan pengurusan

pengebumian berdepan bantahan

dan dalam beberapa kes turut

diserang.

"Yang amat membimbangkan

ialah 60 peratus daripada kematian

yang dilaporkan berlaku dalam

komuniti," katanya sambil

menegaskan cabaran berterusan

dalam pengesanan awal,

pemantauan serta akses segera

kepada rawatan.

IOM memaklumkan amalan

membawa mayat merentasi

kawasan untuk dikebumikan masih

berleluasa. Menurutnya, sebanyak

105 mayat berjaya dikesan semasa

operasi pemantauan Ebola di

lintasan sempadan dan pintu

masuk ke pelbagai zon kesihatan.

Bulan lepas, empat sukarelawan

Bulan Sabit Merah yang terlibat

dalam operasi menangani wabak

itu cedera parah di sebuah tanah

perkuburan di Bunia, ibu negeri

wilayah Ituri apabila tercetus

keganasan ketika upacara

pengebumian mangsa Ebola.

Menurut media tempatan,

sekumpulan belia cuba membuka

keranda mangsa.

Badan kebajikan perubatan

Doctors Without Borders awal

minggu ini memaklumkan wabak

yang berpunca daripada virus

Bundibugyo itu kini menjadi wabak

Ebola ketiga terbesar dan paling

pantas merebak, hanya dalam

tempoh dua bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia

(WHO) pula memaklumkan jumlah

zon kesihatan yang terjejas

meningkat daripada 36 kepada 42

dalam tempoh seminggu. -

©BERNAMA