SYDNEY, 7 Sept. - Dua maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di selatan Brisbane, timur Australia pagi Isnin, lapor Xinhua.
Pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi nahas melibatkan pesawat Beechcraft A36 Bonanza itu, kira-kira 30 kilometer di selatan pusat bandar Brisbane, sejurus selepas 11 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa mengesahkan pada petang itu, dua orang terkorban dalam nahas tersebut yang turut mencetuskan kebakaran rumput sehingga mengambil masa sejam untuk dikawal oleh pasukan petugas.
Ketua Penguasa Polis Mel Adams memberitahu pemberita, situasi amat menyayat hati bagi anggota penyelamat yang tiba di lokasi, dan beliau meminta sesiapa yang menyaksikan pesawat itu terhempas supaya segera menghubungi pihak penyiasat.
Media tempatan melaporkan pesawat itu berlepas dari lapangan terbang berhampiran kira-kira 10 minit sebelum kemalangan berlaku.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menyatakan pihaknya telah menghantar sepasukan tiga penyiasat untuk memeriksa bangkai pesawat, mendapatkan semula komponen serta menemu bual saksi dan pihak terlibat. - ©BERNAMA