HONG KONG, 23 Okt. - Wakil-wakil ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menyeru agar tarif dan halangan lain yang menjejaskan kerjasama serantau dihapuskan, kata Setiausaha Kewangan Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), Paul Chan, selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan APEC di Hong Kong.
“Kami semakin menghargai keterbukaan, inovasi dan kerjasama selepas mesyuarat itu berakhir,” kata Chan kepada Xinhua.
Beliau berkata wakil-wakil ekonomi APEC bersetuju untuk memperkukuh pelaburan serta kerjasama rantaian perindustrian di rantau ini.
Menurut Chan, beberapa ekonomi ASEAN, termasuk Malaysia dan Republik Sosialis Viet Nam, mengalu-alukan pelaburan daripada syarikat tanah besar Republik Rakyat China kerana berpotensi merangsang peningkatan taraf ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Beliau menambah bahawa apabila syarikat-syarikat berkenaan memutuskan untuk mengembangkan operasi mereka ke pasaran global, kelebihan Hong Kong dalam perkhidmatan profesional dapat membantu memudahkan proses tersebut.
Akses Hong Kong kepada pasaran modal global turut memainkan peranan dalam bidang kerjasama APEC yang lain. Chan berkata ekonomi-ekonomi APEC boleh mendapatkan pembiayaan bagi projek infrastruktur berskala besar melalui Hong Kong, manakala syarikat-syarikat pula berpeluang disenaraikan di pasaran modal negara masing-masing dan Bursa Saham Hong Kong.
Sehubungan itu, Chan berkata beliau turut menarik minat ramai wakil apabila berkongsi rancangan untuk memperdalam kerjasama kawal selia sekuriti dengan ekonomi-ekonomi APEC.
Dalam usaha memperluas akses dan peluang kewangan kepada semua, yang menjadi antara topik utama mesyuarat pada 20 hingga 21 Oktober lalu, Chan mengetengahkan Projek CargoX yang diterajui oleh Pihak Berkuasa Monetari Hong Kong sebagai kajian kes.
Platform digital itu mengintegrasikan data logistik dan rantaian bekalan yang menjadi bukti aktiviti perniagaan, sekali gus membolehkan perusahaan kecil dan sederhana mendapatkan pinjaman bank tanpa cagaran.
“Matlamat utama pembangunan sentiasa memastikan kesejahteraan semua,” kata Chan. - ©XINHUA