Ekonomi Republik Rakyat China berkembang mantap tiga suku pertama 2026

20 Okt 2026 - 9:25am

BEIJING, 20 Okt. - Ekonomi Republik Rakyat China mencatat pertumbuhan mantap pada suku ketiga tahun ini, didorong oleh penggerak baharu yang berkembang pesat dan pelaksanaan beberapa dasar baharu.

Republik Rakyat China dijangka mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tahun ini sekali gus kekal sebagai enjin pertumbuhan global.

Biro Statistik Negara (NBS) pada sidang media di sini pada Isnin memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Republik Rakyat China meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.

Sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, Republik Rakyat China mencatatkan output sebanyak RMB107.11 trilion (US$15.94 trilion) dalam tiga suku pertama tahun ini, meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun.

Menurut NBS, pemacu pertumbuhan baharu seperti sektor pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital dan pintar serta perkhidmatan moden menyumbang lebih 40 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.

Dari segi transformasi hijau, penggunaan tenaga bagi setiap unit KDNK menurun 3.1 peratus dalam tiga suku pertama tahun ini, menunjukkan bahawa Republik Rakyat China mampu mencapai pembangunan ekonomi berkualiti tinggi dengan penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Dari segi keterbukaan ekonomi pula, Republik Rakyat China kini menjadi rakan dagang utama bagi 169 negara dan wilayah di seluruh dunia. - ©BERNAMA