NANCHANG, 6 Sept. - Seorang disahkan terkorban manakala 11 lagi masih hilang selepas gelongsoran lumpur melanda sebuah kampung di Daerah Suichuan, Bandar Ji'an, Wilayah Jiangxi di timur Republik Rakyat China pada kira-kira 4 pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Bencana itu berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa hari yang dibawa oleh Taufan Saudel, menurut ibu pejabat kawalan banjir dan bantuan kemarau daerah itu.
Dua lagi mangsa berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil. Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran sedang giat dijalankan, manakala usaha memindahkan penduduk yang terjejas serta mencegah bencana sekunder terus dilaksanakan.
Setakat 10 malam, lebih 640 anggota penyelamat telah tiba di lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, menurut ibu pejabat kawalan banjir dan bantuan kemarau daerah.
Kumpulan pertama anggota bomba yang dilengkapi pengesan hayat, dron dan anjing pengesan tiba di lokasi pada 11 pagi selepas menggunakan laluan merentasi gunung berikutan jalan menuju ke kampung berkenaan mengalami kerosakan.
Setakat ini, seramai 39 penduduk kampung telah dipindahkan ke lokasi selamat. Di kawasan berhampiran, lebih 5,300 penduduk turut dipindahkan bagi berjaga-jaga terhadap potensi bencana.
Berikutan bencana itu, Jawatankuasa Pencegahan, Pengurangan dan Bantuan Bencana Wilayah Jiangxi mengeluarkan respons kecemasan bantuan bencana Tahap 3 peringkat wilayah pada tengah hari Sabtu, memandangkan Taufan Saudel telah menjejaskan kira-kira 161,500 penduduk di wilayah berkenaan. - ©BERNAMA