SEOUL, 18 Julai. - Hujan lebat yang melanda kawasan metropolitan Seoul dan wilayah Gangwon di timur Republik Korea sepanjang malam menyebabkan sekitar 540 kejadian kerosakan harta benda, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut Ibu Pejabat Pusat Kawalan Bencana dan Keselamatan, hampir 200 milimeter (mm) hujan direkodkan di kawasan metropolitan dan Gangwon antara tengah malam hingga 10 pagi waktu tempatan.
Paju mencatatkan 192.5mm hujan, diikuti Dongducheon 189.5mm, Pocheon 179mm, Gimpo 166.5mm dan Cheorwon 159.5mm.
Setakat 11 pagi, amaran hujan lebat masih berkuat kuasa di 10 kawasan di Gangwon, manakala amaran tanah runtuh dikeluarkan bagi Pocheon.
Pihak berkuasa menerima laporan mengenai 148 kejadian jalan raya dan rumah dinaiki air serta 392 kejadian pokok tumbang dan lain-lain.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun 95 penduduk daripada 44 isi rumah di enam bandar dipindahkan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.
Akses ke 10 taman negara dan 275 laluan pendakian termasuk di Gunung Bukhan ditutup, manakala tujuh laluan feri di perairan pantai barat digantung.
Hujan lebat diramal berterusan hingga Ahad, dengan sesetengah kawasan dijangka menerima hujan sehingga 300mm.
Perdana Menteri Han Seong-sook mengarahkan pihak berkuasa segera menggerakkan jentera dan anggota bagi mengurangkan kesulitan yang dialami penduduk di kawasan terjejas.
“Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun rumah dan jalan raya dinaiki air serta penduduk mengalami kerugian harta benda.
“Saya menyampaikan rasa simpati kepada semua yang terjejas,” katanya dalam mesyuarat tindak balas kecemasan.
Beliau turut mengarahkan pegawai supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan tanah runtuh, khususnya di wilayah Chungcheong dan Gangwon, susulan hujan lebat yang diramal melanda kawasan berkenaan lewat malam Sabtu hingga awal Ahad. - ©BERNAMA