Indeks harga makanan dunia catat paras tertinggi dalam lebih 3 tahun pada Ogos

5 Sep 2026 - 6:58am

ROM, 5 Sept. - Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mencatat purata 133.3 mata pada Ogos, meningkat 1.9 peratus berbanding Julai dan 2.5 peratus berbanding setahun sebelumnya, sekali gus mencapai paras tertinggi sejak akhir 2022, menurut FAO pada Jumaat, lapor Xinhua.

Kenaikan itu melibatkan kesemua lima indeks kumpulan komoditi. Indeks Harga Gula FAO mencatat peningkatan terbesar, melonjak 11.9 peratus bulan ke bulan kepada paras tertinggi sejak Jun 2025, susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap bekalan gula dunia bagi musim 2026/27. Cuaca panas dan kering di Kesatuan Eropah (EU) serta beberapa kawasan di Asia, pengeluaran gula yang lebih rendah di Brazil dan keputusan Republik India membenarkan import gula mentah tanpa duti menyumbang kepada kenaikan itu.

Indeks Harga Bijirin FAO meningkat 2.2 peratus pada Ogos kepada paras tertinggi sejak Mei 2024. Harga gandum meningkat 2.6 peratus, disokong oleh gangguan berterusan terhadap logistik eksport di Laut Hitam, prospek pengeluaran yang lebih rendah di beberapa kawasan Eropah akibat cuaca panas dan kering serta kelemahan dolar AS.

Harga jagung pula meningkat 2.5 peratus berikutan kebimbangan terhadap hasil tanaman di beberapa kawasan Amerika Syarikat dan EU, permintaan kukuh daripada sektor etanol dan makanan ternakan serta gangguan terhadap eksport Ukraine.

Indeks Harga Minyak Sayuran meningkat 0.6 peratus kepada paras tertinggi sejak Jun 2022, sekali gus mencatat peningkatan untuk bulan ketiga berturut-turut. Indeks Harga Daging meningkat 1.0 peratus, didorong oleh harga daging ayam, babi dan biri-biri yang lebih tinggi  manakala Indeks Harga Produk Tenusu meningkat 2.3 peratus, kenaikan pertama dalam tempoh empat bulan.

Walaupun meningkat pada Ogos, Indeks Harga Makanan FAO masih 16.8 peratus lebih rendah berbanding paras rekod tertinggi yang dicatat pada Mac 2022, menurut  FAO. - ©BERNAMA