BEIJING, 9 September. - Indeks Harga Pengeluar (PPI) China, yang mengukur kos barangan di peringkat pintu kilang, meningkat 3.8 peratus pada Ogos berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) pada Rabu.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, PPI beralih daripada penurunan 0.7 peratus pada Julai kepada peningkatan 0.4 peratus pada Ogos, menurut data NBS.
Mengulas pergerakan bulan ke bulan berkenaan, ahli perangkaan NBS, Dong Lijuan, berkata tekanan harga import, khususnya peningkatan harga minyak mentah dan logam bukan ferus di pasaran antarabangsa, mendorong kenaikan harga dalam beberapa industri domestik.
Beliau berkata transformasi dan peningkatan taraf sektor perindustrian turut merangsang permintaan serta harga dalam beberapa sektor yang sedang berkembang.
Faktor bermusim juga memainkan peranan, dengan peningkatan permintaan terhadap bekalan elektrik dan arang batu pada musim panas menyebabkan harga dalam sektor berkaitan meningkat. Pada masa yang sama, suhu tinggi dan hujan menjejaskan aktiviti pembinaan serta harga dalam industri berkaitan.
Data yang dikeluarkan pada Rabu turut menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) China, yang menjadi petunjuk utama inflasi, meningkat 0.8 peratus pada Ogos berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. - ©XINHUA