Indonesia, PBB bincang isu strategik, kerjasama pelbagai hala

19 Okt 2026 - 10:04am

JAKARTA, 19 Okt. - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Indonesia dalam dasar luar serta usaha negara itu mempromosikan keamanan dunia dan membantu rakyat Palestin.

Menurut Sekretariat Kabinet Indonesia, Guterres menyampaikan penghargaan itu ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto di kediaman peribadi beliau di Hambalang, Bogor, Jawa Barat pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Sekretariat Presiden memaklumkan bahawa pertemuan itu turut membincangkan isu strategik serta usaha memperkukuh kerjasama antara Indonesia dengan PBB dalam menangani cabaran global menerusi pendekatan pelbagai hala.

"Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh dialog dan perkongsian antara Indonesia dengan PBB, di samping menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menggalakkan keamanan, kestabilan serta menyelesaikan pelbagai isu global menerusi pendekatan pelbagai hala," menurut kenyataan itu.

Guterres tiba di Jakarta pada petang Sabtu untuk lawatan rasmi selama tiga hari yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara Indonesia dengan PBB.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada Guterres untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Prabowo menjelang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung PBB pada Disember.

Sebagai sebahagian daripada program lawatan rasminya, Guterres dijadual melawat pusat pengaman tentera Indonesia di Bogor dan memberikan penghormatan kepada 50 anggota pengaman Indonesia yang terkorban ketika berkhidmat dalam misi PBB.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini mengadakan rundingan dua hala di ibu pejabat PBB di New York pada 22 Sept 2025, selepas Prabowo menyampaikan ucapan pada persidangan antarabangsa peringkat tinggi mengenai penyelesaian secara aman isu Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara. - ©BERNAMA