KAHERAH, 20 Julai. - Inisiatif global yang dicadangkan oleh Republik Rakyat China membuka laluan ke arah mewujudkan sebuah tata tertib antarabangsa yang lebih adil dan saksama, berteraskan multilateralisme serta penyertaan yang lebih besar bagi negara-negara membangun, kata beberapa pakar Mesir pada satu seminar di Kaherah pada Sabtu.
Seminar yang dianjurkan oleh badan pemikir Global Forum for Future Studies yang berpangkalan di Kaherah itu meneliti Global Governance Initiative (GGI) berdasarkan kertas putih bertajuk 'More Just and Equitable Global Governance: China's Principles, Proposals and Actions' yang diterbitkan oleh China's State Council Information Office pada 17 Jun lalu.
Kertas Putih tersebut menggesa usaha bersama untuk membina sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama.
"GGI berfungsi sebagai rangka kerja institusi yang menghimpunkan empat inisiatif utama yang dicadangkan oleh Republik Rakyat China, iaitu Global Development Initiative (GDI), Global Security Initiative (GSI), Global Civilization Initiative (GCI) dan GGI," kata Samar Ibrahim, profesor sains politik di May University serta anggota Majlis Hal Ehwal Luar Mesir.
Menurut Ibrahim, Republik Rakyat China telah memperluaskan visinya mengenai tadbir urus global secara berperingkat melalui beberapa siri inisiatif yang diperkenalkan sepanjang lima tahun lalu.
Beliau berkata, Republik Rakyat China melancarkan GDI pada 2021 bagi menangani cabaran pembangunan, diikuti GSI pada 2022 dan GCI pada 2023 untuk memajukan keselamatan bersama serta dialog antara tamadun. Sementara itu, GGI yang diperkenalkan tahun lalu dibina berasaskan inisiatif-inisiatif tersebut bagi memperkukuh sistem tadbir urus antarabangsa.
Beliau berpendapat bahawa visi Republik Rakyat China berteraskan multilateralisme sebenar, penghormatan terhadap kedaulatan dan kesaksamaan negara, rundingan secara meluas, manfaat bersama serta pembangunan bersama, dengan matlamat membina sebuah komuniti berkongsi masa depan untuk umat manusia.
Maram Diaa, seorang penyelidik di Al-Ahram Center for Political and Strategic Studies, berkata, "Dunia kini berdepan peningkatan ketegangan geopolitik, dasar perlindungan perdagangan, pertikaian perdagangan dan teknologi, serta jurang pembangunan yang semakin melebar antara Negara-Negara Utara Global dan Selatan Global."
Bagi menangani ‘defisit tadbir urus’ tersebut katanya, GGI menyokong pembinaan ‘dunia multipolar yang saksama dan teratur’, dengan menyelaraskan pembaharuan sistem antarabangsa ke arah globalisasi yang lebih inklusif, terbuka dan saling menguntungkan.
Pada seminar itu, Jumana Nazmy, seorang pembantu pengajar di Badr University's Faculty of Political Science, menyifatkan keempat-empat inisiatif tersebut sebagai tonggak yang saling melengkapi dalam satu rangka kerja strategik yang menyeluruh.
Menurut Nazmy, pembangunan merupakan asas kepada kemajuan manusia, keselamatan ialah prasyarat kepada keamanan, dialog antara tamadun menjadi jambatan kepada persefahaman bersama, manakala tadbir urus global merupakan jaminan kepada sistem yang adil dan mampan.
"Integrasi strategik inisiatif-inisiatif Republik Rakyat China menawarkan satu rangka kerja yang komprehensif bagi kerjasama antarabangsa pada abad ke-21, dengan menekankan dialog dan tindakan kolektif berbanding pendekatan unilateral," katanya. - ©XINHUA
Kapsyen : Seorang tetamu yang menghadiri Persidangan Perkongsian China-Arab sempena Forum Media dan Badan Pemikir Global Selatan meninjau pameran mengenai kerjasama China-Arab di sebuah pameran fotografi seni China-Arab di Kaherah, Mesir,.