IRGC dakwa 2 kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz

18 Jul 2026 - 8:27am

WASHINGTON, 18 Julai. - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Jumaat mendakwa dua kapal tangki minyak meletup dan terbakar selepas cuba melalui kawasan periuk api di selatan Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Tentera Laut IRGC dalam satu kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Fars Iran mendakwa agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) menggalakkan kedua-dua kapal itu memasuki kawasan berkenaan pada awal hari berkenaan.

IRGC tidak mendedahkan identiti kapal tangki terbabit, butiran mengenai kematian atau kecederaan, mahupun negara pendaftaran dan pemiliknya. Dakwaan itu juga belum dapat disahkan secara bebas.

Menurut IRGC, Selat Hormuz kekal tidak selamat dan “ditutup sepenuhnya”, sambil memberi amaran bahawa eksport minyak, gas dan baja kimia dari rantau itu akan terus disekat sehingga operasi ketenteraan AS dihentikan.

IRGC turut menggesa kapal dagang supaya tidak memasuki kawasan berkenaan kerana berisiko mengalami kerosakan serta mengakibatkan kematian.

Selat Hormuz ialah laluan maritim penting yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman dan Laut Arab. Sebahagian besar eksport minyak dan gas asli cecair dunia melalui laluan itu.

Ketegangan serantau berkaitan Selat Hormuz semakin memuncak ketika AS dan Iran terus saling berbalas serangan meskipun memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan ditandatangani bulan lepas bagi menamatkan perang serta mencapai perjanjian damai berkekalan. - ©BERNAMA