TOKYO, 20 Okt. - Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi dan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Isnin bersetuju untuk memperkukuh kerjasama keselamatan maritim, lapor Agensi Berita Kyodo.
"Malaysia memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan di rantau ini serta merupakan rakan kongsi yang amat diperlukan Jepun bagi merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” kata Koizumi pada permulaan rundingan di Tokyo.
Jepun bergantung kepada Malaysia bagi import produk tenaga, manakala negara Asia Tenggara itu terletak di sepanjang laluan perkapalan yang penting.
"Saya mahu mengembangkan kerjasama dua hala supaya dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh lagi kerjasama pertahanan secara keseluruhan,” kata Koizumi.
Sementara itu, Mohamed Khaled merujuk kepada peningkatan hubungan dua hala antara kedua-dua negara kepada "perkongsian strategik komprehensif" pada 2023.
"Saya percaya kerjasama pertahanan kita kini seharusnya mencerminkan kematangan hubungan ini," katanya.
Jepun dan Malaysia menandatangani perjanjian mengenai pemindahan peralatan dan teknologi pertahanan pada 2018 yang menetapkan peraturan mengenai perlindungan maklumat sensitif serta pengurusan yang sewajarnya terhadap peralatan yang dipindahkan. - ©BERNAMA