SHANGHAI, 19 Okt. - Karnival Seni Audiovisual Antarabangsa 2026 menutup tirainya di sini pada Ahad dengan pelancaran beberapa hasil karya audiovisual yang menggabungkan inovasi teknologi dan seni.
Karnival anjuran bersama Kumpulan Media China (CMG) dan Majlis Perbandaran Shanghai itu berlangsung sejak 24 September lepas, dengan pameran audiovisual diadakan di beberapa lokasi sekitar Shanghai.
Pameran berkenaan menarik lebih tiga juta pengunjung secara fizikal dan mencatatkan lebih 1.52 bilion tontonan dalam talian.
Presiden CMG Shen Haixiong berkata CMG akan memanfaatkan teknologi ‘5G+4K/8K+AI’ dalam memupuk kuasa produktif kualiti baharu dalam sektor media, mengubah kod yang kompleks kepada kandungan suara dan imej yang lebih hidup serta menarik.
"CMG akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Shanghai dan berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk menggunakan inovasi teknologi dalam memacu inovasi kebudayaan, sekali gus membolehkan lebih banyak idea seni diterjemahkan kepada karya audiovisual untuk tatapan penonton," kata Shen.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) Ahmed Nadeem berkata industri audiovisual global sedang mengalami perubahan yang mendalam.
Dalam ucapan menerusi rakaman video, beliau berkata teknologi seperti Kecerdasan Buatan generatif, definisi ultra tinggi, realiti diperluas dan pengkomputeran ruangan bukan sahaja merevolusikan mod pengeluaran dan penyebaran kandungan, malah membentuk semula cara penonton menikmati, berinteraksi dan mengambil bahagian dalam kandungan audiovisual.
"CMG mencapai hasil yang cemerlang dalam mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan dan definisi ultra tinggi. Karnival ini menyediakan platform pertukaran penting kepada pemain industri untuk berkongsi pencapaian terkini dan menentukan hala tuju industri audio-visual pada masa depan," katanya. - ©BERNAMA