Kebakaran belukar cetus amaran kualiti udara 'tidak sihat' di Brisbane

7 Sep 2026 - 8:16am

SYDNEY, 7 Sept. - Amaran kualiti udara dikeluarkan pada pagi Isnin di kawasan tengah Brisbane susulan asap daripada kebakaran belukar berhampiran, lapor Xinhua.

Jabatan Alam Sekitar Queensland memaklumkan kualiti udara di Daerah Pusat Perniagaan (CBD) Brisbane berada pada tahap "sangat tidak sihat" pada awal pagi Isnin, menyebabkan penduduk dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti fizikal di luar serta menutup pintu dan tingkap.

Setakat 8 pagi Waktu Siang Timur Australia, kualiti udara di tengah Brisbane berada pada tahap "tidak sihat", namun kawasan pinggir selatan bandar itu kekal pada tahap "sangat tidak sihat" akibat asap daripada kebakaran di selatan dan barat Brisbane.

Australian Broadcasting Corporation melaporkan sebanyak 78 kebakaran belukar masih berlaku di seluruh tenggara Queensland setakat malam Ahad dalam keadaan cuaca panas dan kering, dengan tiga daripadanya dipantau rapi oleh jabatan bomba.

Jabatan Bomba Queensland menerusi nasihat kecemasan mengingatkan penduduk berhampiran kawasan kebakaran di Ripley, kira-kira 32 kilometer di barat daya pusat Brisbane, supaya terus mengikuti perkembangan semasa dan berada di dalam rumah sekiranya asap semakin tebal.

Sementara itu, Biro Meteorologi merekodkan suhu maksimum 34.4 darjah Celsius di Brisbane pada Ahad, menjadikannya hari September paling panas di bandar itu sejak 2019. - ©BERNAMA