Kebakaran di Gunung Kilimanjaro, tidak jejaskan aktiviti pelancongan

5 Sep 2026 - 7:04am

DAR ES SALAAM, 5 Sept. - Gunung Kilimanjaro di utara Tanzania terbakar pada Khamis, dengan usaha mengawal kebakaran giat  dijalankan, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Taman Negara Tanzania (TANAPA), kebakaran tercetus kira-kira 3.30 petang waktu tempatan pada Khamis di kawasan Kikererwa dalam Taman Negara Kilimanjaro, berhampiran sempadan taman itu dengan Daerah Rombo di Wilayah Kilimanjaro.

Susulan kebakaran itu, TANAPA segera mengerahkan pasukan pemadam kebakaran daripada pasukan pemuliharaannya bagi membendung dan mengawal keadaan.

Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak keselamatan serta penguat kuasa berkaitan, menurut  kenyataan itu.

Walaupun insiden berlaku, aktiviti pelancongan di Taman Negara Kilimanjaro, termasuk pendakian gunung, diteruskan seperti biasa. Kenyataan itu memberi jaminan bahawa keselamatan taman, pengunjung serta sumber alam semula jadinya kekal menjadi keutamaan. - ©BERNAMA