ISTANBUL, 26 Okt. - Kebakaran di sebuah kilang pemprosesan makanan laut di Oregon, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad menyebabkan penduduk dalam lingkungan 1.6 kilometer diarah berpindah susulan kebimbangan terhadap kemungkinan kebocoran ammonia, lapor Anadolu Ajansi.
"Operasi ini dijangka mengambil masa yang panjang," kata Ketua Jabatan Bomba Newport, Rob Murphy kepada akhbar tempatan Lincoln Chronicle sambil mengesahkan bahawa pasukan kecemasan mengesan kehadiran ammonia dalam asap dari kilang Pacific Seafood.
Sebahagian bumbung bangunan berkenaan runtuh ketika operasi memadam kebakaran dijalankan oleh 40 anggota bomba dari Lincoln County yang dikerahkan ke kawasan komersial berhampiran pelabuhan susulan panggilan kecemasan pada 8.51 pagi waktu tempatan (1551 GMT), menurut Murphy.
Pihak berkuasa tempatan menyediakan pusat perlindungan kecemasan di sebuah sekolah rendah berhampiran, selain menasihatkan penduduk sekitar supaya kekal berada di dalam rumah atau memakai pelitup muka pelindung ketika berada di luar.
Tiada kecederaan dilaporkan, manakala tahap sebenar kepekatan ammonia yang mencemari kawasan berkenaan masih belum dapat dipastikan. - ©BERNAMA