NAIROBI, 11 Sept. - Kenya pada Khamis melancarkan Pelan Tindakan Kesiapsiagaan dan Antisipasi El Nino Sektor Ternakan Nasional bernilai 2.1 bilion syiling (kira-kira US$16.2 juta), lapor Xinhua.
Setiausaha Kabinet bagi Pertanian dan Pembangunan Ternakan Mutahi Kagwe menegaskan komitmen kerajaan untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi ekonomi ternakan Kenya sebelum kerugian berlaku.
“El Nino pada 2023 dan banjir akibat hujan berpanjangan pada 2024 menyebabkan kerugian besar kepada penternak kita, memusnahkan infrastruktur penting serta mencetuskan wabak penyakit yang menjejaskan sektor ini dengan ketara,” kata Kagwe dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kaunti Isiolo di timur Kenya.
“Oleh itu, kita perlu belajar daripada pengalaman dan atas sebab itu, kita bertekad untuk memastikan petani serta penternak tidak berdepan situasi tanpa persediaan,” katanya.
Inisiatif itu susulan nasihat Jabatan Meteorologi Kenya yang meramalkan peningkatan risiko hujan lebat, banjir kilat dan banjir setempat di beberapa kawasan utama.
Dengan mengutamakan langkah proaktif berbanding pemulihan selepas bencana, pelan itu menyasarkan 24 kaunti berisiko tinggi yang mempunyai jumlah ternakan yang banyak.
Unjuran kerajaan menunjukkan strategi itu akan melindungi rantaian nilai ternakan, mencegah wabak penyakit, meminimumkan kehilangan ternakan serta mengurangkan kos pemulihan bencana negara. - ©BERNAMA