KINSHASA, 12 Sept. - Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) telah melepasi 7,000, dengan hampir 3,400 kematian dilaporkan, menurut laporan situasi terkini kerajaan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Setakat 10 Sept., pihak berkuasa kesihatan telah merekodkan 7,022 kes yang disahkan dan 3,398 kematian, menjadikan kadar kematian kes sebanyak 48.4 peratus. Seramai 1,671 pesakit telah pulih.
Wabak itu kini telah menjejaskan 62 zon kesihatan di tujuh wilayah. Sud-Ubangi menjadi wilayah terbaharu yang terjejas selepas satu kes disahkan di situ, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis. Pesakit tersebut, seorang lelaki berusia 23 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan dari wilayah South Kivu, dilaporkan meninggal dunia.
Sud-Ubangi tidak bersempadan dengan mana-mana daripada enam wilayah yang sebelum ini melaporkan kes Ebola yang disahkan, iaitu Ituri, North Kivu, South Kivu, Haut-Uele, Tshopo dan Bas-Uele.
Wabak semasa ini, yang diisytiharkan pada Mei, telah menjadi epidemik Ebola terbesar dan paling membawa maut dalam sejarah DRC serta yang kedua terbesar di dunia, selepas epidemik 2014-2016 di Afrika Barat. - ©XINHUA