PARIS, 25 Okt. – Kira-kira 410,000 orang menyertai gelombang baharu tunjuk perasaan di seluruh Republik Perancis pada Sabtu, menurut laporan saluran berita Republik Perancis, BFM TV, yang memetik Kementerian Dalam Negeri negara itu.
Di Paris, pihak polis menganggarkan seramai 110,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.
Sementara itu, lebih 500 individu yang merusuh menyerang anggota penguat kuasa undang-undang di Cours de Vincennes.
Bagaimanapun, menurut BFM TV, Konfederasi Am Buruh (General Confederation of Labour-CGT) menganggarkan jumlah keseluruhan peserta demonstrasi di seluruh negara hampir mencecah 800,000 orang, termasuk 250,000 orang di Paris.
Beberapa bandar di Republik Perancis telah memberikan kebenaran bagi mengadakan demonstrasi pada Sabtu, termasuk Lille, Strasbourg, Mulhouse, Grenoble, Marseille, Toulouse, Amiens dan Paris.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, berkata pada sidang media bahawa pihak polis telah membuat 135 tangkapan semasa demonstrasi di seluruh negara sehingga jam 1 petang waktu tempatan (11 pagi GMT) pada Sabtu.
Pada 17 Oktober lalu, kira-kira 550,000 orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh Republik Perancis. Seramai 2,397 orang ditahan sepanjang demonstrasi berkenaan yang dicemari insiden keganasan, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Republik Perancis. - ©XINHUA