SEOUL, 15 Sept. - Kos penghantaran kontena dari Republik Korea Selatan ke Asia Barat terus meningkat pada Ogos berikutan konflik geopolitik yang berpanjangan di rantau itu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik agensi kastam pada Selasa.
Menurut data Perkhidmatan Kastam Korea, purata kos penghantaran bagi kontena 40 kaki dari Republik Korea Selatan ke Asia Barat meningkat 1.7 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 8.83 juta won (US$6,544) pada Ogos.
Angka itu terus meningkat sejak Mac.
Purata kos penghantaran kontena ke Pantai Barat Amerika Syarikat (AS) turut meningkat 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 8.58 juta won, manakala kos penghantaran ke Pantai Timur AS melonjak 24.8 peratus kepada 9.97 juta won.
Sebaliknya, kos penghantaran ke Kesatuan Eropah (EU) turun 9.4 peratus kepada lima juta won.
Menurut agensi itu, angka berkenaan merangkumi kadar tambang, komisen dan caj lain yang dilaporkan oleh pengeksport tempatan. - ©BERNAMA