Kuwait benar kerajaan pinjam daripada dana kekayaan berdaulat

2 Sep 2026 - 10:48am

BANDAR KUWAIT, 2 Sept. - Kuwait pada Selasa mengeluarkan dekri yang membenarkan kerajaan meminjam daripada dana kekayaan berdaulat negara itu bagi menyokong kewangan negara, sekali gus menamatkan sekatan selama beberapa dekad terhadap penggunaan simpanan jangka panjang negara untuk keperluan belanjawan, lapor Xinhua.

Dekri yang disiarkan dalam warta rasmi Kuwait Today itu membenarkan kerajaan meminjam daripada dana kekayaan berdaulat negara, yang dikenali sebagai Dana Generasi Akan Datang dan diuruskan oleh Kuwait Investment Authority bagi menyokong Dana Rizab Am yang berfungsi sebagai perbendaharaan kerajaan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan belanjawan negara.

Mengikut peraturan baharu, sebarang pinjaman memerlukan kelulusan Kabinet, dengan setiap pinjaman perlu menetapkan jumlah, tujuan, kadar pulangan, tempoh serta jadual pembayaran balik, selain syarat bagi sebarang penjadualan semula.

Jumlah pinjaman tahunan tidak boleh melebihi purata pulangan dana itu bagi lima tahun fiskal diaudit sebelumnya, manakala jumlah baki pinjaman dihadkan kepada 10 peratus daripada nilai aset bersih dana berkenaan. 

Tiada pinjaman baharu dibenarkan sekiranya mana-mana had itu dicapai.

Dekri itu turut menetapkan bahawa pembayaran balik pinjaman berkenaan diberi keutamaan daripada hasil negara dan pinjaman itu tidak boleh dikurangkan atau dihapus kira kecuali melalui undang-undang.

Dekri itu meminda undang-undang 1976 yang mengawal selia Dana Generasi Akan Datang, yang ditubuhkan bagi melaburkan sebahagian daripada kekayaan minyak dan lebihan fiskal Kuwait untuk generasi akan datang.

Menurut memorandum dekri itu, perubahan berkenaan bertujuan mengimbangi keperluan pembiayaan semasa negara dengan usaha melindungi aset dana dan memelihara kekayaan untuk generasi akan datang. - ©BERNAMA