SEOUL, 2 Sept. - Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, pintu masuk utama Korea Selatan bakal menyaksikan Terminal 1 yang kian berusia, diubah suai sepenuhnya menjelang 2035, menurut pengendali lapangan terbang itu pada Selasa.
Pihaknya memaklumkan pihak berkuasa lapangan terbang merancang membelanjakan lebih 1.77 trilion won (US$129 bilion) bagi tujuan berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Di bawah projek yang diterajui Incheon International Airport Corp. (IIAC), sistem mekanikal, elektrik, telekomunikasi dan pemadaman kebakaran yang dibina 25 tahun lepas akan diganti bagi memenuhi peraturan keselamatan semasa.
Sistem pengendalian bagasi (BHS) turut akan dinaik taraf daripada pemeriksaan terpilih kepada sistem pemeriksaan 100 peratus.
“Kami merancang menyiapkan reka bentuk menjelang September tahun depan dan memulakan kerja pembinaan pada 2028,” kata Ketua Pasukan Strategi Korporat IIAC Cho Sung-mi pada taklimat media di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam.
Menurut Cho, pengendali lapangan terbang itu merancang mengambil iktibar daripada Lapangan Terbang Schiphol, hab Eropah berusia 60 tahun yang sedang menjalani reka bentuk semula menyeluruh kemudahan sedia ada bernilai 16 trilion won (kira-kira US$11 bilion) berikutan kekurangan tanah untuk membina lapangan terbang baharu.
Kerja baik pulih yang dirancang itu turut akan menyatukan enam balai berlepas dan ketibaan di Lapangan Terbang Incheon kepada satu sistem bersepadu, selain menyusun semula kawasan bebas cukai dan komersial bagi melancarkan pergerakan penumpang.
Bagi memastikan operasi lapangan terbang terus berjalan, terminal itu akan dibahagikan kepada sekurang-kurangnya tiga zon untuk kerja pembinaan secara berperingkat.
IIAC turut meneliti pelan alternatif untuk membina terminal sementara sebagai pengganti bagi membolehkan Terminal 1 dibaik pulih sepenuhnya secara serentak dengan memanfaatkan tanah lapang yang tersedia, kata Cho.
Selepas kerja baik pulih selesai, kapasiti tahunan Terminal 1 dijangka meningkat daripada 54 juta penumpang ketika ini kepada sehingga 64 juta. - ©BERNAMA