Lebih 130 orang keracunan makanan dalam 2 kejadian berasingan di Jepun

19 Jul 2026 - 9:41am

TOKYO, 19 Julai. - Lebih 130 orang mengalami gejala keracunan makanan dalam dua kejadian berasingan di tengah dan timur Jepun, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan. 

Dalam kejadian pertama, 74 orang mengalami cirit-birit, muntah dan gejala lain selepas menikmati hidangan set tradisional Jepun di sebuah hotel di bandar Takayama, wilayah Gifu, lapor Kyodo News pada Sabtu.

Seramai sembilan daripada mereka dimasukkan ke hospital. Pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan kejadian itu sebagai kes keracunan makanan dan mengarahkan operasi dapur masakan Jepun di hotel berkenaan digantung, menurut laporan itu.

Dalam kejadian berasingan, 64 orang termasuk 59 kanak-kanak berusia antara satu hingga enam tahun serta lima kakitangan sebuah tadika di Hachioji, barat Tokyo, mengalami gejala seperti cirit-birit dan sakit perut, lapor TBS Television pada Jumaat.

Seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital. Pusat Kesihatan Awam Hachioji mengenal pasti kejadian sebagai keracunan makanan dan mengarahkan tadika berkenaan ditutup selama tiga hari bermula Jumaat. - ©BERNAMA