LONDON, 10 Sept. - Lebih 2,000 penerbangan dibatalkan di Britain pada Selasa dan Rabu akibat masalah teknikal, dengan Lapangan Terbang Heathrow paling terjejas, lapor Xinhua memetik media Britain.
“Penumpang yang terjejas berkemungkinan tidak layak menerima pampasan bagi kelewatan atau pembatalan yang berpunca secaralangsung daripada insiden itu,” menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam United Kingdom (CAA) pada Rabu.
Jumlah pembatalan penerbangan mula berkurangan pada petang Rabu dan tiada pembatalan dijadualkan pada Khamis, menurut firma analisis penerbangan Cirium.
National Air Traffic Services (NATS) pada petang Selasa memaklumkan pihaknya mengenal pasti masalah teknikal pada sistem pemprosesan penerbangan, yang menjejaskan pelepasan pesawat di seluruh negara serta menyebabkan kelewatan dan pembatalan.
Gangguan trafik udara selama empat jam pada Selasa menyebabkan ratusan ribu penumpang berdepan pembatalan, lencongan dan kelewatan penerbangan, kata Setiausaha Pengangkutan Heidi Alexander pada Rabu.
“Saya tidak percaya masalah ini tidak dapat dielakkan,” kata beliau sambil mengarahkan CAA menjalankan siasatan bebas terhadap sistem yang dikendalikan NATS. Ketua Pegawai Eksekutif NATS Martin Rolfe berkata serangan siber telah diketepikan sebagai punca gangguan berkenaan. - ©BERNAMA