Lebih 60,000 kanak-kanak Gaza kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa akibat konflik

20 Okt 2026 - 9:24am

GENEVA, 20 Okt. - Lebih 60,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa sejak konflik bermula, termasuk dalam tempoh selepas gencatan senjata, ketika situasi kemanusiaan di wilayah itu masih kritikal, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Dianggarkan 60,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa yang terkorban semasa konflik atau sejak gencatan senjata berkuat kuasa," menurut organisasi itu dalam satu laporan.

Lebih setahun telah berlalu sejak gencatan senjata diumumkan. Dalam tempoh itu, lebih 340 kanak-kanak terkorban manakala ratusan lagi cedera, menurut data yang tersedia, menurut UNICEF.

Kira-kira 800,000 kanak-kanak masih kehilangan tempat tinggal, dengan kebanyakan mereka tinggal di dalam khemah atau bangunan yang rosak akibat pengeboman dan berbahaya untuk didiami.

Menurut organisasi itu, keperluan bantuan kemanusiaan di wilayah berkenaan masih sangat besar, manakala dana yang tersedia pula tidak mencukupi.

UNICEF menggesa pihak yang terlibat dalam konflik supaya mematuhi syarat gencatan senjata, mengikut ketetapan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Konflik Israel-Palestin memuncak pada Oktober 2023. Tentera Israel kemudian melancarkan operasi darat yang menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2025, tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin dengan mendakwa menyasarkan kemudahan dan anggota Hamas.

Menurut penilaian PBB, situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza masih teruk, dengan kemusnahan meluas, gangguan terhadap perkhidmatan perubatan serta kesukaran berterusan untuk menyediakan makanan dan bekalan keperluan asas kepada penduduk. - ©BERNAMA