KAHERAH, 26 Okt. - Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy pada Ahad memberi amaran bahawa gencatan senjata di Gaza masih rapuh dan menggesa pelaksanaan penuh resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan wilayah Palestin itu, lapor Xinhua memetik kenyataan Liga Arab.
Fahmy menyuarakan kebimbangan itu semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres di ibu pejabat Liga Arab di Kaherah, yang membincangkan isu Palestin serta konflik lain di rantau berkenaan.
Beliau berkata lebih 1,500 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, sambil memberi amaran bahawa perkembangan di Gaza kini menguji kredibiliti sistem antarabangsa.
Fahmy menekankan keperluan melaksanakan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB, mengekalkan kesatuan wilayah Palestin yang diduduki serta menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) dalam melaksanakan mandatnya.
Beliau turut menyatakan pendirian Liga Arab yang menentang serangan terhadap negara-negara Arab, dengan merujuk kepada serangan Iran terhadap negara jirannya serta serangan kumpulan Houthi yang menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan awam.
Beliau menegaskan semula solidariti Liga Arab terhadap Arab Saudi serta hak negara itu untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatannya, selain menggesa supaya kebebasan pelayaran di Laut Merah dan Selat Hormuz terus dilindungi.
Pertemuan berkenaan turut membincangkan perkembangan di Lubnan, Sudan, Syria dan Libya, dengan kedua-dua pihak menekankan kepentingan memelihara perpaduan dan kedaulatan negara terbabit serta memperkukuh institusi nasional masing-masing.
Sementara itu, Guterres menegaskan semula komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, dengan menyatakan bahawa badan dunia itu akan terus menyelaras usaha dengan Liga Arab serta menyokong inisiatifnya dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.
Guterres kini berada di Kaherah sebagai sebahagian daripada siri lawatan beliau ke beberapa negara di rantau berkenaan, menurut kenyataan itu. - ©BERNAMA