KAHERAH, 20 Julai. - Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy pada Ahad memberi amaran mengenai kesan serius daripada ketegangan yang terus memuncak di rantau itu serta menggesa usaha dilakukan bagi mengelakkan kitaran keganasan berulang, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Fahmy menyeru Amerika Syarikat (AS) dan Republik Islam Iran supaya segera mengambil langkah meredakan ketegangan, sambil menegaskan bahawa keadaan yang terus memuncak hanya akan membawa lebih banyak kerugian kepada semua pihak.
Beliau memberi amaran bahawa keadaan itu berisiko menjadi tidak terkawal, sekali gus membawa kepada kemusnahan serta memburukkan keadaan ekonomi di rantau berkenaan dan kawasan lain.
Fahmy turut menegaskan bahawa serangan Republik Islam Iran terhadap beberapa negara Arab ditolak dan dikecam, sambil berkata negara-negara Arab sebelum ini menentang perang dan tidak seharusnya menanggung akibat daripada konflik yang berterusan atau semakin memuncak.
Beliau turut menggesa usaha bagi memulihkan ketenangan serta memastikan kedua-dua pihak mematuhi komitmen di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Republik Islam Iran dan AS, termasuk menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz serta mengelakkan laluan perairan itu digunakan sebagai alat tekanan atau “paksaan ekonomi”.
Beliau menegaskan bahawa situasi semasa memerlukan semua pihak menahan diri dan mengambil kira segala akibat, sambil menyifatkan rundingan serta dialog sebagai satu-satunya jalan untuk menangani isu yang masih belum diselesaikan.
AS dan Republik Islam Iran menandatangani MoU itu pada Jun, yang menggariskan kedua-dua pihak dijangka mengadakan rundingan dalam tempoh 60 hari bagi mencapai persetujuan muktamad.
Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak baru-baru ini apabila kedua-dua pihak saling melancarkan beberapa siri serangan di Asia Barat. - ©BERNAMA