Macron singgah di Arab Saudi dalam jelajah ke Asia Barat

22 Okt 2026 - 6:46pm

BEIRUT/PARIS, 22 Okt. - Presiden Republik Perancis Emmanuel Macron membuat persinggahan tanpa dirancang di ibu negara Arab Saudi, Riyadh, pada Rabu semasa jelajah beliau ke Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Putera Mahkota Arab Saudi merangkap pemerintah de facto, Mohammed bin Salman, menerima menghadap  Presiden Republik Perancis itu, menurut agensi berita rasmi SPA.

Istana Élysée memaklumkan Republik Perancis telah mencapai persetujuan dengan Arab Saudi untuk melanjutkan bekalan tambahan bahan api diesel. Penghantaran tambahan itu akan diteruskan selama mana yang diperlukan,  bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan.

Selain itu, Republik Perancis berhasrat memperluas kerjasamanya dengan Arab Saudi dalam perlindungan infrastruktur tenaga kritikal. Kedua-dua negara turut berhasrat memajukan projek-projek infrastruktur yang direka bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada Selat Hormuz.

Lawatan berkenaan berlangsung di tengah-tengah  konflik di Yaman yang menjejaskan Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi menyokong Kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam penentangannya terhadap Kumpulan  Houthi.

Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Republik Islam Iran, telah memberikan tamparan hebat ke atas kerajaan Arab itu. Serangan peluru berpandu ke atas lapangan terbang di Riyadh awal bulan ini mengakibatkan 13 kematian dan menyebabkan lebih 300 orang cedera.

Sebelum ini, Macron telah melawat negara-negara Teluk seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Lawatan ke Arab Saudi itu tidak diumumkan secara terbuka terlebih dahulu. - ©BERNAMA