Negara teluk zahir solidariti kepada Arab Saudi, gesa dialog tangani ketegangan AS-Iran

19 Okt 2026 - 10:05am

ISTANBUL, 19 Okt. - Menteri-menteri luar negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Ahad menzahirkan solidariti kepada Arab Saudi susulan serangan oleh kumpulan Houthi dan menggesa dialog bagi menyelesaikan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

"Majlis menegaskan solidariti penuh negara anggota GCC kepada Kerajaan Arab Saudi, pendirian bersama mereka dalam menyokong negara itu serta sokongan terhadap segala langkah yang diambil Arab Saudi bagi mempertahankan kedaulatan serta melindungi keselamatan dan kepentingannya," menurut kenyataan akhir yang dikeluarkan pada sesi ke-168 Majlis Menteri-Menteri GCC di Manama, Bahrain pada Ahad.

GCC turut menzahirkan sokongan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Yaman serta menggesa penyelesaian politik berasaskan dialog, Inisiatif GCC, hasil Persidangan Dialog Kebangsaan dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

Mengenai Selat Hormuz, Bab al-Mandeb dan Laut Merah, GCC menegaskan bahawa memastikan kebebasan pelayaran di laluan berkenaan merupakan "kepentingan dan tanggungjawab bersama masyarakat antarabangsa".

Majlis itu turut menolak sebarang sekatan terhadap trafik perkapalan dan menggesa supaya keadaan di Selat Hormuz dikembalikan seperti sebelum 28 Feb.

Berhubung ketegangan antara Washington dengan Tehran, majlis itu turut menegaskan semula sokongan terhadap usaha pengantaraan "bagi mencapai penyelesaian politik yang dapat menghalang rantau itu daripada terjerumus ke dalam ketegangan dan ketidakstabilan yang lebih serius".

GCC turut menggesa supaya sebarang perjanjian menangani program nuklear dan misil Iran serta isu dron dan sokongan negara itu terhadap kumpulan proksi, selain menekankan keperluan melibatkan negara anggota GCC dalam rundingan yang memberi kesan terhadap keselamatan dan kepentingan mereka. - ©BERNAMA