MANILA, 22 Okt. - Pinggir pantai Asia Pasifik berdepan ancaman paras laut meningkat dan banjir semakin teruk namun pelaburan dalam daya tahan boleh menjana faedah sehingga 20 kali lebih besar daripada kos, menurut laporan Bank Pembangunan Asia (ADB), lapor Xinhua.
Kerosakan banjir pantai tahunan di rantau Asia Pasifik boleh meningkat lebih enam kali ganda menjelang 2050 dan hampir dua puluh kali ganda menjelang 2100 tanpa penyesuaian, menurut Laporan Iklim Asia-Pasifik 2026 : Risiko Pantai pada Peningkatan Tindakan untuk Masa Depan Berdaya Tahan yang dikeluarkan pada Rabu.
Berdasarkan anggaran merentas 30 ekonomi pantai, laporan itu menganggarkan bahawa kerosakan banjir tahunan boleh mencecah USD172 bilion hingga USD199 bilion menjelang 2050 dan USD520 bilion hingga USD739 bilion menjelang 2100, berbanding kira-kira USD27 bilion hari ini.
Laporan itu menyatakan bahawa mengekalkan kerosakan banjir pada paras semasa akan memerlukan anggaran USD9 bilion hingga USD19 bilion setiap tahun dalam langkah perlindungan pantai, iaitu satu pelaburan yang boleh menghalang kerosakan banjir bernilai USD178 bilion hingga USD360 bilion setiap tahun.
Menurut ADB, lebih 400 juta orang di rantau ini tinggal dalam lingkungan 10 kilometer dari laut.
Pantai ialah pusat untuk pelabuhan dan perdagangan, serta tempat pelancongan dan warisan.
Tanpa langkah penyesuaian sewajarnya, ekonomi yang lebih besar boleh menghadapi beberapa kerugian ekonomi tertinggi secara mutlak manakala impak relatif amat teruk di negara atol, di mana kerosakan banjir tahunan boleh mencecah 30 peratus hingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar menjelang 2100.
Di bandar pantai utama seperti Bangkok, Jakarta, Kolkata dan Mumbai, banjir pantai yang secara sejarah berlaku sekali setiap 100 tahun boleh menjadi acara tahunan menjelang akhir abad ini, menurut laporan itu. - ©BERNAMA