ISTANBUL, 15 Sept. - Dewan Perwakilan Libya pada Isnin sebulat suara meluluskan perjanjian muktamad yang dicapai Jawatankuasa Dialog Kecil 4+4 yang bertujuan memberi laluan kepada pilihan raya presiden dan Parlimen, menurut satu kenyataan Parlimen.
Jurucakap Dewan Perwakilan Abdullah Bliheg berkata ahli Parlimen sebulat suara mengundi untuk menerima pakai perjanjian itu dalam satu sesi di bandar Benghazi, timur Libya, lapor Anadolu Ajansi.
Perjanjian itu memperuntukkan penstrukturan semula lembaga Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya Kebangsaan Libya, menangani isu yang dipertikaikan berkaitan kerangka perundangan bagi pilihan raya presiden dan Parlimen serta mengadakan pengundian di bawah satu pihak berkuasa eksekutif dan institusi kebangsaan yang disatukan dalam tempoh maksimum 24 bulan.
Jawatankuasa 4+4 menandatangani perjanjian muktamad itu pada 30 Ogos dalam satu majlis rasmi di ibu pejabat Misi Sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) di ibu negara Tripoli.
Jawatankuasa itu terdiri daripada empat anggota yang mewakili Kerajaan Perpaduan Nasional yang berpangkalan di Tripoli dan empat lagi mewakili pihak berkuasa Libya di timur. Jawatankuasa itu telah mengadakan rundingan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan merungkai kebuntuan politik Libya dan memajukan hala tuju ke arah pilihan raya serta pihak berkuasa eksekutif yang disatukan.
Pada 3 September, UNSMIL memaklumkan bahawa pihaknya secara rasmi telah mengemukakan perjanjian itu kepada Dewan Perwakilan dan Majlis Tinggi Negara, dengan memberi kedua-dua badan berkenaan tempoh sebulan dari tarikh perjanjian itu ditandatangani untuk meluluskannya.
Libya kekal berpecah dari segi politik antara Kerajaan Perpaduan Nasional yang berpangkalan di Tripoli pimpinan Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibeh dengan kerajaan di timur yang dilantik Dewan Perwakilan dan diketuai Perdana Menteri Osama Hammad.
Rakyat Libya berharap pilihan raya yang telah lama dinanti-nantikan itu akan menamatkan konflik politik dan bersenjata serta mengakhiri siri tempoh peralihan yang berlarutan sejak penggulingan rejim Muammar Gaddafi, yang memerintah Libya dari 1969 hingga 2011. - ©BERNAMA