Pelancongan domestik Phnom Penh tampung kemerosotan ketibaan pelancong asing

21 Jul 2026 - 8:58am

PHNOM PENH, 21 Julai. - Pemulihan kukuh sektor pelancongan domestik membantu Phnom Penh mengurangkan kesan kemerosotan ketibaan pelancong antarabangsa, dengan hampir 14 juta perjalanan pelancongan dalam negara direkodkan pada separuh pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelancongan Phnom Penh An Syeha berkata ibu negara itu menerima hampir 10 juta pelawat domestik sepanjang 2025, namun jumlah itu telahpun diatasi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Dalam separuh pertama tahun ini (Januari hingga Jun), seramai 13.9 juta pelancong domestik dari seluruh negara mengunjungi Phnom Penh, termasuk rakyat Kemboja dan ekspatriat yang menetap di negara ini," katanya kepada Bernama di luar acara  Cambodia Travel Match  di sini pada Isnin.

Acara perniagaan ke perniagaan (B2B) yang dianjurkan di beberapa bandar utama seperti  Siem Reap, Phnom Penh dan Sihanoukville  bertujuan mempromosikan Kemboja sebagai destinasi pilihan pelancong dari Republik India.

Syeha berkata Phnom Penh telah berubah daripada sebuah 'bandar tinggal' kira-kira empat dekad lalu kepada sebuah pusat komersial yang pesat membangun.

"Ke mana sahaja anda melihat, terdapat perniagaan, kedai dan orang ramai yang bersesak-sesak. Pihak berkuasa menganjurkan lebih banyak acara mingguan dan bermusim bagi menyokong industri pelancongan kerana kami menyaksikan penurunan ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.

Antara inisiatif itu ialah  Chaktomuk Walk Street  yang dibuka pada setiap hujung minggu di tengah-tengah ibu negara dan kini menjadi tarikan popular dengan kira-kira 100,000 pengunjung setiap minggu.

Beliau berkata kempen  Green Season  anjuran Kementerian Pelancongan yang diadakan pada musim hujan, selain Forum dan Pameran Pelancongan Mesra Muslim Kemboja 2026 yang baru sahaja berakhir, turut membantu merancakkan pelancongan domestik.

Penganalisis pelancongan berpandangan bahawa pelancongan domestik kini semakin penting berikutan ketidakpastian geopolitik yang mengubah corak perjalanan, sekali gus mendorong destinasi pelancongan lebih bergantung kepada pelawat tempatan bagi mengekalkan perniagaan pelancongan ketika permintaan pelancong antarabangsa lemah.

Menurut Kementerian Pelancongan Kemboja, ketibaan pelancong antarabangsa merosot 47.8 peratus kepada 1.54 juta orang bagi tempoh Januari hingga Mei berbanding tempoh sama tahun lepas susulan ketegangan geopolitik, penutupan sempadan akibat pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand serta peningkatan kos perjalanan.

Kemerosotan itu meningkatkan lagi usaha untuk memulihkan industri yang menjana pendapatan sebanyak USD3.9 bilion (RM16 bilion) daripada 5.6 juta pelancong asing tahun lepas serta menyokong ribuan  pekerjaan di hotel, rumah tumpangan, restoran dan sektor perkhidmatan pengangkutan.

Walaupun berdepan kelembapan itu, Phnom Penh terus menarik pelawat menerusi gabungan warisan budaya dan kehidupan bandar moden, termasuk pagoda purba, karya seni Khmer, pelayaran sungai, pasar malam yang meriah serta latar langit bandar yang pesat berubah. - ©BERNAMA