MOSCOW, 6 Sept. - Pemain skuad bola sepak pantai wanita Brazil Leticia Villar Pais dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan di Rusia kerana menyeludup dan memiliki hashish, menurut dokumen mahkamah yang dilihat RIA Novosti.
Dokumen itu menunjukkan warga Brazil berkenaan membawa 6.13 gram hashish di dalam beg tangan ketika melintasi sempadan Estonia- Persekutuan Rusia.
Pengawal sempadan menjalankan pemeriksaan menyeluruh selepas seekor anjing pengesan 'menghidu begnya', menurut dokumen itu.
Atlet berkenaan ditahan di pusat pemeriksaan kastam di Wilayah Leningrad sebelum ditempatkan dalam tahanan praperbicaraan.
Mahkamah mendapati Villar Pais bersalah atas kesalahan menyeludup dadah dan memiliki sejumlah besar dadah secara haram tanpa niat untuk menjualnya. Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun dua bulan di koloni penjara rejim am, menurut dokumen mahkamah.
Villar Pais mengaku bersalah. Beliau memaklumkan mengalami masalah kesihatan mental akibat perceraiannya dan kesukaran dalam kerjaya, yang menurutnya menyebabkan doktor memberikan ubat mengandungi kanabinoid, 'yang penggunaannya sah di banyak negara'.
Dokumen mahkamah menyatakan beliau membeli hashish itu di Eropah dan membawanya ke Persekutuan Rusia kerana 'menyangka ia juga sah di sini'.
Hukuman itu berkuat kuasa pada musim panas tahun ini.
Villar Pais, 33, ialah pemain bola sepak pantai Brazil yang pernah beraksi untuk Sekolah Sukan Lokomotiv di St. Petersburg. - ©BERNAMA