BEIJING, 19 Okt. - Botswana wajar mempelajari pengalaman pembangunan Republik Rakyat China dan menggunakannya dalam menggariskan hala tuju pembangunan negara itu pada masa depan.
Presiden Botswana Duma Gideon Boko berkata demikian ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) sempena lawatan negaranya ke Republik Rakyat China, baru-baru ini.
"Pendekatan pengindustrian yang diambil Republik Rakyat China telah membolehkan negara itu memanfaatkan sepenuhnya potensi domestik serta memperkukuh keyakinan dirinya. Keyakinan rakyat Republik Rakyat China pula berakar umbi dalam sejarah, tradisi dan budaya mereka.
"Oleh itu, apabila berdepan masalah, Republik Rakyat China tidak akan mencari penyelesaian dari luar, sebaliknya bersatu dan berusaha mencari penyelesaian sendiri.
Boko berkata Botswana amat menghargai semangat itu dan bersedia mencontohi pendekatan pembangunan Republik Rakyat China.
Pada 13 Oktober lepas, pemimpin Republik Rakyat China dan Botswana bersetuju menaik taraf hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif
Boko berkata peningkatan hubungan itu akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, negara membangun berdepan tekanan yang amat besar ketika dunia dilanda pelbagai pergolakan.
Boko menyatakan bahawa dasar tarif sifar yang dilaksanakan Republik Rakyat China terhadap Afrika bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kepada negara di benua itu, malah memperkukuh kepercayaan bersama, sekali gus menjadi tonggak penting kerjasama Selatan-Selatan.
Beliau juga menegaskan bahawa hubungan antara Afrika dan Republik Rakyat China adalah saling menguntungkan.
"Republik Rakyat China memiliki teknologi maju dan keupayaan untuk melabur di Afrika. Pada masa sama, Afrika kaya dengan sumber asli yang perlu diteroka secara teliti sebelum dapat dimanfaatkan dari segi ekonomi.
"Melalui mod kerjasama dengan Republik Rakyat China, Afrika boleh mengimport teknologi dari negara itu dan menyesuaikannya dengan keadaan setempat, sekali gus memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya. - ©BERNAMA